Pages

Showing posts with label berita. Show all posts
Showing posts with label berita. Show all posts

Jun 19, 2013

ADC Negeri Johor : Percubaan Kali Kedua


Selepas kejayaan mendapat tempat kedua dalam Anugerah Desa Cemerlang (ADC) Peringkat Negeri johor pada tahun 2009, kali ini, Kg Melayu Raya sekali lagi diberi tugas khas oleh pihak Pejabat Daerah Segamat bagi ADC Negeri Johor tahun 2013.

Kali ini, barisan JKKK Kg Melayu Raya mensasarkan pencapaian yang lebih cemerlang untuk mewakili Negeri Johor ke peringkat kebangsaan pula.

Usaha kearah tersebut sedang giat dijalankan melalui aktiviti keceriaan, persediaan dokumentasi dan pembentangan. Penilaian untuk ADC Negeri Johor 2013 bakal diadakan pada 25 Jun 2013. Harapan kami pihak JKKK Melayu Raya agar seluruh penduduk khasnya, dan jabatan-jabatan kerajaan berkaitan amnya, dapat memberikan sepenuh kerjasama kearah kejayaan cemerlang tahun ini. InsyaAllah.

Dec 11, 2010

Artikel SInar Harian hari ini mengenai Program Berkhatan

11 Disember 2010 - Hari ini, Kampung Melayu Raya sekali lagi mendapat publisiti percuma dalam akhbar Sinar Harian. Artikel mengenai Program Berkhatan pada 28 dan 29 November lalu dimuatkan dalam edisi Johor, berita daerah Segamat.

Saya tak dapat berikan link ke berita tersebut di laman web Sinar Harian, kerana kandungan disitu masih belum diupdate. Sesiapa yang berminat boleh dapatkan dengan harga RM1 di kedai-kedai berdekatan.

p/s : suatu masa dulu, kita selalu mengharap berita tentang kita di dada-dada akhbar. Kini mudah sahaja kita mendapat perhatian. Lebih-lebih lagi akhbar Sinar Harian. Terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa dan penduduk kampung yang bekerja keras untuk kita sampai di peringkat ini. Tak lupa juga kepada sahabat saya, saudara Nazirul, dari skuad Cakna Sinar Harian yang banyak membantu (Terima kasih juga belanja minum malam tadi.. =) ). Cuma saya terkilan dengan sesetengah penduduk kampung yang hanya tahu mengkritik, sedangkan dirinya sendiri tidak mahu turut membantu. Kami AJK JKKK bekerja tidak dibayar gaji, sekadar menyumbang apa termampu demi kepentingan kampung sendiri. Kami tidak mengharap apa-apa balasan. Apa yang kami harapkan, semua pihak dapat memberi kerjasama sebaiknya, bukan hanya mencerca. Kita masih boleh pergi lebih jauh, ke tahap yang lebih cemerlang. Oleh itu, sama-samalah kita berganding bahu, demi kejayaan kita bersama.

Dec 10, 2010

Baikpulih Masjid Jamek Naemah Kampung Melayu Raya Fasa 1

Masjid Jamek Naemah Kampung Melayu Raya telah mendapat peruntukan untuk proses baikpulih dengan kos sebanyak RM 140,000.00. Kerja-kerja baikpulih dijangka berjalan selama 2 bulan, bermula sebelum hujung tahun ini. Melalui mesyuarat jawatankuasa JKKK bersama JK Masjid pada 8 Disember lalu, keputusan telah diambil, bahawa Solat Jumaat akan diadakan di Surau Jalan No 3.

Proses baikpulih melibatkan hal-hal berikut;
1. Baikpulih atap dan siling
2. Baikpulih lantai yang rosak
3. Penukaran karpet
4. Gantian pintu dan tingkap

Mesyuarat jawatankuasa juga telah memutuskan untuk menggantikan tiang kayu di bahagian belakang dengan tiang roman. Kos penggantian tersebut dianggarkan sebanyak RM 10,000. Untuk itu, pihak jawatankuasa memohon bantuan penduduk untuk menyumbang kepada pengumpulan dana tersebut. Mana-mana pihak yang berhajat menderma boleh menghubungi Pengerusi ; Tn Hj Idris, atau Setiausaha ; En Zakaria@Daud.

Diharap kerja-kerja baikpulih dapat berjalan lancar dan siap dalam jangkamasa yang ditetapkan.

Oct 18, 2010

Sinar Harian - UTHM Pilih Kampung Melayu Raya

Artikel asal di laman web Sinar Harian, atau dapatkan akhbar Sinar Harian di kedai-kedai berdekatan anda. (Pesan pada Tok Deris supaya beli banyak2 untuk orang kampung..=P)
KAMPUNG MELAYU RAYA - Seramai 17 pelajar dan beberapa kakitangan serta tenaga pengajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat telah berkampung di sini, selama tiga hari dua malam untuk menjalankan Program Khidmat Masyarakat.

Pengarah Program, Dr Mohd Akbal Abdullah berkata, program khidmat masyarakat yang diadakan merangkumi pelbagai program melibatkan penduduk dan sekitar Kampung Melayu Raya ini dan pelajar serta pensyarah yang hadir.

“Program yang kita jadualkan di sini amat padat dan kita berharap semua yang telah dirancang dapat dijalankan dengan sempurna. Antara aktiviti yang dijalankan ialah, akikah, lawatan sambil membersihkan rumah warga tua dan mengadakan kelas tambahan untuk adik-adik yang masih bersekolah,” katanya.

Menurutnya, sepanjang program dijalankan, semua peserta termasuk kakitangan dan pensyarah akan tinggal di rumah penduduk di sini, tidak seperti sesetengah program hanya pelajar sahaja yang tinggal bersama penduduk kampung.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, Datuk Ayub Rahmat berkata, program seumpama ini adalah program yang perlu disertai penduduk kampung ini kerana pelbagai aktiviti bermanfaat dijalankan.

“Peluang yang datang perlu direbut kerana program ini dapat mengeratkan silaturahim antara penduduk kampung dengan peserta,” katanya.

Aug 12, 2010

Lawatan YAB Menteri Besar Johor, Dato' Hj Abdul Ghani bin Othman

Tarikh : 10 Ogos 2010
Tempat : Dewan Terbuka Kg Melayu Raya
VVIP : Dato' Hj Abdul Ghani bin Othman, Menteri Besar Johor
Penyertaan : ~700 orang

Program Ziarah Pusara Peringkat Daerah Segamat 2010

Tarikh : 8 Ogos 2010
Tempat : Tanah Wakaf Kg Melayu Raya
VIP : YB Ayub bin Rahmat, YB Dato' Baharom Mohamed
Penyertaan : ~40 orang

Jun 10, 2010

Program Salam Desa RTM di Kg Melayu Raya

Semalam krew penggambaran Salam Desa RTM telah tiba di Kg Melayu Raya jam 6.20 ptg. Penggambaran telah dimulakan pagi ini bermula di IKS daun getah (Pn Hajah Sarumi) dan kemudian ke pusat pengumpulan getah (Hj Rosle). Kepada sesiapa yang berminat nak tengok mukanya masuk tv, rajin-rajin la ikut krew ni yer..=). mereka akan berada di Kampung Melayu Raya sehingga 12 Jun (Sabtu). Diharap penduduk memberi kerjasama sepenuhnya. Koleksi gambar sepanjang penggambaran akan diupdate selepas program penggambaran berakhir.

Jun 8, 2010

Diploma dianggap pilihan selamat

Petikan daripada myMetro untuk renungan dan panduan bersama:

Beranggapan matrikulasi platform pantas memperoleh segulung ijazah, ramai pelajar salah membuat pilihan sekali gus gagal menamatkan pengajian.
Biarpun bijak dan memperoleh keputusan cemerlang, bukan jaminan mereka mampu mengharungi tempoh pengajian setahun yang padat dan mencabar kerana matrikulasi berisiko kalau tidak bersedia.
Tidak hairanlah ada yang kecundang kerana tidak mampu mengikut syarat diperuntukkan meskipun mempunyai keputusan cemerlang.
Dengan 14 kolej matrikulasi seluruh negara dan enam pusat asasi ditawarkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) , peratusan mereka yang gagal menamatkan pengajian tetap ada.
Persoalannya ke mana arah mereka yang gagal ini dan masih wujudkah lagi peluang lain menyambung pengajian? Naib Canselor Universiti Teknologi Mara ( UiTM), Datuk Profesor Dr Sahol Hamid Abu Bakar, berkata kegagalan tidak bermakna cita-cita mereka menggenggam ijazah terhenti kerana peluang masih terbuka.
Menurutnya, banyak institusi pendidikan dalam negara mampu memberi peluang kedua menyambung pengajian sekali gus memperbaiki kegagalan.
"Kali pertama gagal, renung apa kesilapan diri. Mereka bijak tapi bukan semua boleh berjaya. Bagaimanapun jangan jadikan itu sebagai alasan.
"Rebut peluang belajar yang ditawarkan pelbagai institusi sedia ada. Itu lebih baik daripada terus meratap dan menyalahkan diri sendiri," katanya.
Diploma yang ditawarkan kebanyakan IPTA adalah peluang terbaik kerana pelajar boleh menggunakan semula kelayakan asas SPM untuk memohon.
Berbanding matrikulasi, diploma juga dianggap pilihan 'selamat' untuk membina masa depan meskipun tempoh pengajian tiga tahun. Pasaran kerjayanya juga cerah kerana program berkenaan sudah dimantapkan dengan keperluan industri.
Kepelbagaian program juga satu kelebihan berbanding matrikulasi yang hanya menawarkan dua jurusan iaitu sains dan perakaunan.
Atas dasar keprihatinan, UiTM turut membuka pintu menawarkan diploma namun mesti mengikut prosedur ditetapkan, antaranya perlu memohon semula menggunakan kelayakan SPM.
Bagaimanapun, Dr Sahol Hamid berkata, jangan melihat isu itu sebagai sensasi tapi lebih kepada menunaikan tanggungjawab kepada anak bangsa.
"Sebagai sebuah universiti yang mempunyai keupayaan menampung kapasiti pelajar ramai, UiTM memang mahu membantu apatah lagi ada wawasan untuk mencapai sasaran 200,000 pelajar.
"Bagaimanapun tiada keistimewaan diberikan, kena ikut proses dan permohonan menggunakan SPM. Rugi kerana perlu mengulang tapi itu lebih daripada terus meratap kegagalan," katanya.
Program Matrikulasi kecuali di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Pusat Asasi Sains Universiti Malaya dikendalikan sepenuhnya Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia.
Empat IPTA lain ialah Pusat Asasi UiTM, Sains Pertanian Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Pusat Asasi Universiti Pertahanan Malaysia ( UPNM).
Ditanya jika ada agenda tersembunyi, beliau menafikan sebaliknya menganggap tujuan itu adalah amanah kepada semua institusi yang menjadi pemangkin proses pembelajaran sepanjang hayat.
Malah turut menegaskan matrikulasi tidak gagal dan masih relevan cuma berisiko tinggi kepada pelajar yang lalai.
"Jika gagal diploma masih boleh mengulang, peluang kerjaya juga lebih terjamin tapi bagaimana jika gagal matrikulasi sebab sijilnya kurang diperakui majikan.
" Sama ada matrikulasi atau diploma, terserah tapi kena pastikan benar- benar bersedia, kalau tidak pasti rugi dan buang masa," katanya.
Dr Sahol Hamid berkata kegagalan adalah subjektif tapi mengakui faktor piawaian pengajian yang tinggi menyebabkan pelajar perlu bersedia melalui frasa pengajian ditawarkan.
"Jangan belajar sambil lewa tapi beri penumpuan. Kalau tidak, bersedialah menghadapi risikonya," katanya.